22 December 2024, Sunday | 01:42am

Wajah tak komersial, bakat ‘mendunia’

2020-11-17

NAM ROM dan Amerul Affendi antara anak seni yang sering menjadi pilihan rumah produksi perfileman yang dahagakan ‘seni’ lakonan mereka. Biarpun langkah awal mereka agak sukar atas faktor komersial namun kesungguhan membuktikan bakat mengatasi segalanya, kerja yang dipersembahkan perlahan-lahan membuahkan hasil.

Tanpa wajah komersial, tidak bermakna dua figura ini kosong bakat. Pada waktu sama, faktor kurang daya penarik, rupa paras khususnya menjadi penyebab peluang untuk mereka muncul membawa watak utama dalam naskhah televsisyen agak terbatas.

Isu berkenaan bukanlah perkara lapuk, malah ketetapan tidak rasmi stesen televisyen yang menilai jumlah pengikut pelakon dalam akaun laman sosial sebagai syarat pemilihan pelakon, dilihat seolah-olah telah ‘membunuh’ bakat pelaku seni berbakat besar di negara ini.

Dua bintang itu antara yang sering menjadi mangsa ‘kekejaman’ pihak berkepentingan yang sengaja mengugurkan nama mereka atas alasan tidak kacak. Bukan sekali dua mereka meluahkan kekecewaan, namun senario tersebut masih belum bertemu penamat.

Amerul, 34, pernah meluahkan kekecewaan apabila dimaklumkan pihak produksi bahawa namanya terpaksa digugurkan kerana tidak menepati syarat sebuah stesen televisyen.

“Julai lalu saya ada suarakan keluhan dalam Twitter mengenai jumlah pengikut Instagram saya yang tak sampai 500,000. Itu jumlah yang katanya pihak stesen televisyen mahukan kalau nak berlakon dalam produksi mereka.

“Saya sengaja membuat luahan itu sebab mahu lihat perubahan. Sampai bila mereka (televisyen) akan berpandukan jumlah angka pengikut media sosial seorang anak seni berbanding menilai dari sudut bakat?,” soalnya.

“Luahan itu bukan untuk kepentingan peribadi semata-mata, tetapi untuk generasi akan datang yang akan keluar dari pusat pengajian atau pun yang betul-betul nak jadikan lakonan sebagai kerjaya.

“Alhamdullilah, selepas bersuara, ada segelintir pihak mula terbuka mata. Mereka juga sedar keadaan industri. Bahkan, orang dalam industri seperti produser pun sudah mula nampak bahawa khalayak sebenarnya pandai menilai bakat pelakon.

“Penonton sudah semakin bijak dan mereka mula minta cerita yang bagus untuk tayangan televisyen atau pawagam. Sudah tidak ada stigma ‘berkiblatkan’ jumlah pengikut Instagram kononnya itu tanda penerimaan peminat,” ujar bintang filem One Two Jaga itu lagi.

Anak kelahiran Temerloh, Pahang itu enggan peduli jika satu hari nanti profesionnya sebagai pelakon akan hilang daripada radar ingatan orang.

Sejak terjun ke bidang agrikultur tiga tahun lalu, Amerul meletakkan kerjaya baharunya itu sebagai keutamaan.

“Saya pilih bidang itu sebab ada tanah yang boleh diusahakan untuk membuahkan hasil. Buat masa ini saya sedang usahakan penanaman pokok kelapa dan kelapa sawit, penternakan kerbau serta ikan patin sangkar. Semuanya dilakukan di Temerloh.

“Saya tak kaya tetapi bersyukur boleh menampung apa yang patut dibayar. Saya kerap berada di kampung sebab semua kerja dilakukan sendiri dan hanya hari minggu masa untuk bersama keluarga di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

“Saya tiada pekerja tetap, hanya gajikan orang kampung untuk mesin rumput jika perlu.

“Saya okey dan tiada masalah kalau orang lupa bahawa saya seorang pelakon. Rasanya selepas ini, saya akan cakap pertanian dan penternakan sebagai fokus utama, manakala lakonan sekadar hobi.

“Sebaiknya begitulah sebab itulah cara saya menghindar daripada terus kecewa dengan industri,” katanya yang tidak meletakkan darjat apatah lagi berasa kerdil bergelar petani dan penternak.

Lewat usia bukan bakat

Beralih kepada lelaki bertaraf ‘abang’ kepada Amerul, pada usia 50 tahun, tiada yang terlewat buat Nam Ron.

Mencanai portfolio anak seni profesional pada usia sebegitu matang, bintang yang pertama kali diperkenalkan sebagai hero filem menerusi Paloh itu kekal relevan dan menjadi rebutan rumah produksi.

Di sebalik keampuhan bakatnya, Nam Ron atau Shahili Abdan juga pernah menjadi mangsa ‘kezaliman’ tuntutan komersial.

Mengulas lanjut persoalan berkenaan, pelakon filem Redha itu berasa tersisih hanya ketika awal kemunculan dalam industri sebelum membuat keputusan untuk terlibat secara sepenuh masa.

“Saya masuk industri sepenuh masa pada 2010. Ya, jujurnya memang ada rasa tersisih pada lima tahun pertama penglibatan. Saya kurang diberi perhatian dan disisihkan mungkin sebab bukan kerjaya utama ketika itu.

“Tetapi bermula 2016 dan seterusnya, situasi semakin berubah dan semua kembali normal mungkin sebab lakonan kini menjadi karier tetap saya.

“Alhamdulilah, okey dan perasaan tersisih sudah tiada,” bicaranya.

Kata orang, sebut sahaja nama Nam Ron, pasti watak berat akan menjadi ‘makanannya’.

“Saya suka lihat semua watak yang ditawarkan sebagai berat. Mungkin watak berat mudah bagi orang lain tetapi berat untuk saya dan begitulah sebaliknya.

“Garapan skrip yang bagus juga memberi kredit terhadap keberkesanan kerja seseorang pelakon. Secara automatik hasil lakonan akan jadi bagus kerana watak ditulis dengan baik. Nak kata rasa bangga, saya lebih berasa syukur. Mungkin Tuhan bagi rezeki tawaran banyak yang ke arah watak berat.

“Saya pernah dapat watak kena bercinta tetapi ditolak dengan baik kerana rasa tak logik pula dengan perwatakan saya yang perlu melakonkan adegan jatuh cinta.

“Sebelum tolak, saya akan minta produksi huraikan dulu watak tersebut dan kalau boleh beri jawapan masuk akal, baharu saya setuju tetapi kebanyakkannya terpaksa ditolak.

“Saya bukan memilih sangat tetapi perlu pastikan tawaran itu betul-betul logik untuk dilakonkan. Sebab itu, saya banyak dapat tawaran daripada pembikin yang betul-betul mahu berkarya,” ungkapnya yang kini bergelar pensyarah sambilan di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan.

Mencari Rahmat

Selain miliki persamaan anugerah fizikal dan aliran kesenian, Nam Ron dan Amerul kini berkongsi sebuah penantian dalam Mencari Rahmat. Sayangnya, rahmat yang ditunggu masih tergantung.

Mencari Rahmat sebenarnya filem sulung arahan Al Jafree Md. Yusop yang diilhamkan daripada naskhah The Importance Of Being Earnest tulisan Oscar Wilde.

Nam Ron tertarik membintangi filem tersebut kerana kelainan watak dan keunikan jalan cerita.

“Saya bawa watak Razak dan karakternya belum pernah dilakonkan sebelum ini. Naskhah berkenaan bawa sindiran dalam jenaka.

“Dalam filem ini pelakon memainkan peranan penting untuk menyampaikan jalan cerita. Asalnya karya itu dipersembahkan di pentas teater sebelum diangkat ke layar lebar,” katanya.

Amerul pula berasa lega apabila filem yang menjalani penggambaran tiga tahun lalu akhirnya akan menemui penonton di pawagam.

“Penggambaran hanya memakan masa selama dua minggu. Sebelum memulakan penggambaran kami perlu menjalani kelas latihan selama sebulan sebab skrip asalnya daripada teater kemudian diadaptasi ke lakon layar.

“Cabarannya, pelakon perlu berdialog panjang kerana kalau ikut cerita asal memang begitu.

“Saya harap yang baik-baik sahaja daripada penonton untuk memberi sokongan ke pawagam apabila Covid-19 sudah pulih sepenuhnya,” kata Amerul menutup perbualan.

Selain Amerul dan Nam Ron, Mencari Rahmat turut dibintangi Adibah Noor, Nadia Aqilah, Fauziah Nawi, Azman Hassan, Eric Fuzi dan Sharifah Amani.

Sudah dua kali tertunda tayangan, iaitu pertama pada 18 Jun dan yang kedua pada 31 Disember ini, Mencari Rahmat masih menunggu ‘rahmat’ untuk bertemu peminat pada tarikh yang akan diumumkan kelak.

Sumber: KOSMO

No votes yet