PERMAISURI, 6 Dis (Bernama) -- Dua pemuda dari Kampung Banggol, Setiu bukan sekadar membuktikan kehebatan mereka mencipta motosikal yang boleh bergerak di dalam air yang dalam, malahan menggunakan hasil ciptaan mereka itu untuk membantu orang lain.
Lebih menarik, Ikram Shahidi Mat Kail, 25, dan adiknya, Muhammad Zakaria, 23, menjadikan kreativiti tersebut untuk mengurangkan kerugian penternak ikan dengan menangkap semula ikan yang terlepas dari kolam akibat banjir.
Kisah dua anak muda ini pernah dipaparkan Bernama tahun lepas dan ketika itu mereka menunggang motosikal tersebut untuk bermain air banjir tetapi kali ini digunakan ke lokasi menahan pukat sebelum memerangkap ikan.
“Tahun lepas, selepas kisah kami tular, ramai yang hubungi menerusi Facebook untuk ucap tahniah. Ada juga dari Thailand, Jepun, Amerika Syarikat dan China… masa itu kami guna motosikal jenis Modenas Kriss 110 dan Honda C70 tetapi kali ini hanya guna Modenas Kriss 110 dengan ubah suai seperti ‘motorcross’.
“Kejayaan meredah banjir sebelum ini buatkan kami lebih kreatif dan dapat menyiapkan motosikal unik ini dalam tempoh tidak sampai sejam,” kata Ikram Shahidi.
Bagi menyempurnakan misi meredah air, mereka mengubah suai botol plastik bagi menggantikan tangki minyak, karburetor dan saluran udara ke karburetor, hujung paip ekzos yang kesemuanya diletakkan pada kedudukan lebih tinggi daripada badan motosikal biasa bagi membolehkan jentera itu bergerak sekalipun ditenggelami air.
Ketika tinjauan Bernama baru-baru ini, motosikal berkenaan mampu bergerak laju walaupun sudah tenggelam sepenuhnya dan paras air berada setakat leher penunggangnya.
Kebiasaannya dua beradik itu akan ke kawasan banjir pada waktu pagi dan mula memasang pukat di kawasan yang agak dalam.
Usaha mereka ternyata tidak sia-sia kerana ikan yang terlepas dari kolam berhampiran sering terperangkap termasuklah seekor ikan keli Afrika seberat 4 kilogram berjaya ditangkap semula dalam tempoh 30 minit sahaja, ketika tinjauan Bernama dilakukan.
“Ikan ini akan diserah kembali kepada penternak dan dimasukkan semula ke kolam. Sesetengah penternak di sini adalah saudara kami sendiri dan saling mengenali. Kami tidak meminta sebarang bayaran pun, hanya sekadar membantu tetapi adakala penternak beri sedikit duit sebagai tanda terima kasih.
“Baru-baru ini, ada juga orang kampung minta kami bawa anak-anak mereka keluar dari kawasan banjir dengan menaiki motor ini, ia lebih selamat daripada mengharung sendiri,” katanya.
Ketika ditanya apakah yang akan dilakukan pada masa hadapan, Ikram Shahidi berkata mereka akan terus membantu penduduk kampung semasa musim tengkujuh ini dan sedia membantu mengubah suai motosikal pihak yang berminat.
Sementara itu, seorang penternak, Muhammad Firdaus Razami, 25, yang mengalami kecacatan fizikal dan sukar berjalan akibat kemalangan sembilan tahun lalu, berkata beliau pernah mendapatkan khidmat dua beradik tersebut menghantar makanan untuk haiwan ternakannya kerana banyak kawasan ditenggelami air.
“Memang mereka akan bantu. Ada tempat yang susah hendak redah sebab air agak dalam. Kadangkala minta tolong mereka pergi jengah untuk pastikan binatang peliharaan saya selamat,” kata Muhammad Firdaus, yang memelihara 25 ekor kambing biri-biri dan beberapa ekor lembu di kampung yang sama.
Sumber: BERNAMA