26 December 2024, Thursday | 07:54pm

Berlian palsu, Firman tuntut hak dari Vida

2019-07-19

KUALA LUMPUR – Penyanyi popular Indonesia, Firman Siagian mendakwa hadiah berlian yang diterima sewaktu menyertai Gegar Vaganza (GV) musim keempat lalu, juga tidak tulen.

Justeru penyanyi yang terkenal dengan lagu Kehilangan tersebut akan menuntut haknya melalui proses undang-undang.

Ketika dihubungi Utusan Online petang tadi, Firman memberitahu dia sudah memaklumkan kepada penaja utama program itu, Datuk Seri Vida.

Bagaimanapun kata Firman, sehingga ke hari ini dia tidak mendapat sebarang maklum balas daripada usahawan tersebut.

“Tempoh hari saya mengikuti kes tuntutan hadiah berlian yang didakwa juara GV , Aishah yang tidak tulen.

“Lantas saya pergi ke sebuah kedai emas di Bandung dan terkejut apabila hadiah berlian untuk saya juga tidak tulen,” kata Firman yang merupakan salah seorang finalis program tersebut.

Jelas Firman, pada awalnya dia mahu menyelesaikan masalah tersebut secara baik dengan Vida demi menghormati hubungan mereka dan jasa baik usahawan itu.

Namun tambahnya, jika tiada sebarang maklum balas daripada Vida, dia juga terpaksa menggunakan khidmat peguam.

“Saya cuma mahu hak saya melalui hukum (undang-undang),” kata Firman menerusi mesej WhatsApp ketika dihubungi.

Dalam GV yang lalu, Firman memenangi tempat kelima dan menerima hadiah wang tunai RM15,000 serta barang kemas tajaan Vida.

Sumber: Utusan.com

No votes yet