22 December 2024, Sunday | 01:19am

PNB umum dividen ASB 4.25 sen, 0.75 bonus khas

2020-12-23

KUALA LUMPUR - Permodalan Nasional Berhad (PNB) mengumumkan agihan pendapatan Amanah Saham Bumiputera (ASB) berjumlah 4.25 sen seunit bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020.

Ia berdasarkan agihan 3.5 sen seunit dan bonus berjumlah 0.75 sen seunit.

Pada masa sama, PNB turut mengumumkan tambahan bayaran bonus atau Ehsan pada kadar 0.75 sen seunit bagi 30,000 unit pertama.

Agihan pembayaran dividen tahun ini adalah yang terendah sejak ASB diperkenalkan pada 1990.

Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Dr. Zeti Aziz berkata, agihan pendapatan itu melibatkan jumlah RM7.6 bilion kepada 10.2 juta pelabur.

Katanya, di sebalik pasaran kewangan yang tidak stabil, ASB terus memberi pengagihan kompetitif tahun ini dengan aset di bawah pengurusan (AUM) meningkat sebanyak 2.7 peratus kepada RM320.5 bilion.

“Sempena sambutan Ulang Tahun ASB ke-30, pembayaran Ehsan sebanyak 0.75 sen seunit diberikan ke atas 30,000 unit pertama yang dimiliki pelabur.

“Prestasi ASB kekal kompetitif berbanding instrumen pelaburan berisiko rendah lain dengan ia terus menjadi pilihan tepat bagi individu yang mempunyai profil risiko rendah dan melabur untuk jangka panjang,” katanya dalam sidang akhbar pengumuman dividen ASB secara maya hari ini. 

 

 

 

 

 

Sumber: Utusan Malaysia

Gambar: nst.com.my

No votes yet