21 December 2024, Saturday | 07:54pm

Lapangan terbang Singapura di bawah paras beku, sedia edar vaksin COVID-19

2020-12-18

SINGAPURA: Ketika pintu troli vaksin dibuka di lapangan terbang Changi di Singapura, suhu di bawah sifar bertembung dengan udara panas, mewujudkan wap seperti nafas hangat pada musim sejuk.

Troli ini dikenali sebagai 'cool dollies', yang diperoleh oleh firma logistik Dnata, adalah sebahagian daripada rancangan pemerintah republik itu untuk memanfaatkan kedudukan negara itu sebagai hab kargo udara dan memastikan vaksin COVID-19 dapat diedarkan di seluruh negara.

Negara yang berjumlah 5.7 juta penduduk itu menjangkakan vaksin COVID-19, Pfizer-BioNTech akan tiba bulan ini.

Singapura merupakan negara pertama di Asia yang meluluskan vaksin berkenaan.

Singapura sejak beberapa bulan lepas telah meningkatkan kemampuan mekanisme 'rantaian sejuk', untuk memastikan vaksin seperti Pfizer yang perlu disimpan dalam suhu sejuk dapat diedarkan dengan selamat.

"Suhu di Singapura boleh mencapai 30 darjah (Celsius) dan ke atas. 'Cool dollies' akan membantu kami melindunginya," kata Arman Abdul Malek, seorang Eksekutif Operasi Dnata.

Vaksin Pfizer perlu disimpan pada suhu -70 darjah Celsius (-94 F), bersamaan dengan musim sejuk Antartika.

Vaksin Moderna pula boleh disimpan sehingga enam bulan pada suhu -20 darjah Celsius.

Syarikat pengendali darat Singapura, SATS juga melabur untuk mengendalikan vaksin termasuk membeli 'cool dollies' dan memperluas pengeluaran ais kering.

"Singapura berada di posisi yang baik untuk menjadi pusat serantau bagi menyimpan dan mengedarkan vaksin di seluruh Asia", kata Bob Chi, ketua pegawai operasi SATS.

Source: astro AWANI

 

No votes yet