KUALA LUMPUR: Pembukaan semula Zoo Negara hari ini, selepas ditutup sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), menerima sambutan amat menggalakkan dengan kehadiran pengunjung seawal pagi.
Rata-rata pengunjung datang bersama keluarga masing-masing, berikutan permulaan cuti persekolahan.
Timbalan Presiden Zoo Negara, Rosly@Rahmat Ahmat Lana, berkata demi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pihaknya menetapkan 1,250 pengunjung dibenarkan masuk pada satu-satu masa.
"Ini adalah hari pertama pembukaan semula. Kami jangka menjelang esok, lebih ramai pengunjung hadir membawa anak-anak beriadah di sini.
"Sebelum ini, kebiasaannya pada Disember, hampir 5,000 pengunjung hadir setiap hari, tetapi kali ini kita menetapkan had dengan setiap pengunjung akan diberi kad.
"Begitu juga bagi tempahan tiket secara dalam talian akan diberikan angka giliran untuk masuk jika sudah melepasi 1,250 pengunjung dalam satu-satu masa," katanya ketika ditemui selepas program Habib Untuk Zoo Negara 'Selamatkan Haiwan Kita', dekat sini, hari ini.
Sempena program itu, Habib Jewels tampil memberikan sumbangan awal sebanyak RM50,000 kepada Zoo Negara dan juga mengeluarkan enam keping emas 999 edisi terhad bernilai RM118 setiap satu untuk dimiliki orang ramai.
Setiap pembelian keping emas, RM5 akan disumbang kepada Zoo Negara.
Yang turut hadir Pengarah Eksekutif Kumpulan Habib, Datin Seri Zarida Noordin.
Rosly berkata, kehadiran pengunjung susulan pembukaan semula Zoo Negara dapat membantu menampung keperluan hampir 3,700 haiwan daripada 280 spesis yang ada di situ.
"Ketika PKP tempoh hari, kami menerima sumbangan hampir RM10 juta daripada orang ramai, tidak termasuk makanan, jadi kita uruskan dengan baik demi menjaga kebajikan haiwan-haiwan di sini.
"Zoo Negara kini boleh menarik nafas lega kerana dapat kembali beroperasi semula. Orang ramai dialu-alukan untuk datang dengan mematuhi SOP ditetapkan," katanya.
Sementara itu, pengunjung, Zaino Mishak Mohd Saad, 39, dari Melaka, berkata kedatangannya untuk menyokong operasi Zoo Negara berikutan mendengar pelbagai berita mengenai haiwan-haiwan ini.
"Saya baru tahu ini hari pertama zoo dibuka dan disebabkan ada masa di sini, saya mengajak anak-anak ke sini sebelum pulang.
"Daripada bawa anak ke pusat beli belah yang mungkin sesak, baik saya bawa ke sini. Dapat mereka mengenali haiwan juga," katanya.
Bagi pengunjung dari Pahang, Mohd Riduwan Akisah, 43, berkata sebaik selesai urusannya di ibu kota, beliau mengambil peluang menghabiskan masa berkunjung ke Zoo Negara.
"Saya pun baru mengetahui zoo baru dibuka hari ini, jadi amatlah baik kerana sekurang-kurangnya awal pagi ini pengunjung belum ramai lagi. Dapatlah saya habiskan masa bersama keluarga di sini," katanya.
Sumber: BH Online