22 December 2024, Sunday | 01:05am

"Saya akan berjuang hingga ke akhir perlumbaan" - Quartararo

2020-11-10

KUALA LUMPUR, 9 Nov -- Pelumba Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT) Fabio Quartararo berikrar untuk memberikan prestasi terbaiknya dalam dua perlumbaan terakhir untuk mengekalkan harapan meraih Kejuaraan Grand Prix Motosikal Dunia (MotoGP).

Pelumba warga Perancis berusia 21 tahun itu mendedahkan bahawa dia tidak berpuas hati dengan tunggangannya dalam beberapa perlumbaan terakhir baru-baru ini kerana sedang bergelut mencari tetapan terbaik untuk motosikal.

“Mengikut perkiraan, saya masih mempunyai peluang untuk memenangi Kejuaraan (MotoGP), tetapi saya perlu berpuas hati dalam setiap perlumbaan. Selain dari litar Le Mans, saya sebenarnya tidak berpuas hati dalam perlumbaan lain,” katanya yang dipetik dari laman web MotoGP www.motogp.com.

“Bukan disebabkan tekanan atau faktor lain, tetapi masalah lebih kepada mencari tetapan terbaik untuk motosikal. Saya masih berada di kedudukan kedua dalam senarai kejuaraan (MotoGP) dan mempunyai peluang untuk berada di tempat teratas... saya  tidak akan menyerah kalah sehingga pusingan terakhir di Litar Portimao,” katanya.

Quartararo baru pulih daripada kecederaan selepas terbabit dalam kemalangan di Litar Ricardo Tormo, Valencia, Sepanyol, Ahad lalu untuk menamatkan perlumbaan di tempat ke-14, sementara rakan sepasukannya, Franco Morbidelli dari Itali menduduki tempat ke-11.

Pelumba tuan rumah dari pasukan Suzuki Ecstar menakluki perlumbaan tersebut apabila Joan Mir dan Alex Rins masing-masing menamatkan tempat pertama dan kedua, sementara seorang lagi pelumba Sepanyol, Pol Espargaro dari Red Bull KTM Factory Racing mendapat tempat ketiga.

Mir kekal berada di puncak senarai kejuaraan dengan 162 mata, diikuti oleh Quartararo dan Rins yang terikat dengan 125 mata, sementara Morbidelli di tempat kelima dengan 117 mata selepas 12 perlumbaan.

Litar Ricardo Tormo akan menjadi tuan rumah pusingan kedua terakhir Valencia GP, hujung minggu depan sebelum musim 2020 akan ditutup dengan perlumbaan GP Portugal di Litar Portimao dari 20 hingga 22 Nov.

Sumber: BERNAMA

 

No votes yet