22 December 2024, Sunday | 09:41am

Trafik penumpang lapangan terbang dijangka meningkat secara berperingkat - MAHB

2020-12-16

KUALA LUMPUR: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) menjangka pemulihan berperingkat dalam jumlah trafik penumpang apabila syarikat penerbangan sedia ada menyambung operasi masing-masing, selain daripada syarikat baharu memulakan operasi.

Bulan lalu, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menyambut kehadiran semula Cathay Pacific selepas tiga tahun dengan syarikat itu menawarkan penerbangan mingguan ke Hong Kong dari KLIA.

Selain itu, KLIA juga menantikan syarikat penerbangan Starlux Airlines dari Taipei pada Januari ini di mana penerbangan baharu itu adalah tambahan kepada laluan Taipei-Pulau Pinang.

MAHB berkata, penyambungan semula operasi syarikat penerbangan secara beransur-ansur dan pengenalan laluan baru, menawarkan prospek pemulihan yang meyakinkan dalam sektor penerbangan.

Katanya, dengan larangan perjalanan antara negeri dan daerah telah ditamatkan baru-baru ini selain kehadiran musim cuti panjang yang akan datang, MAHB mengharapkan pergerakan penumpang meningkat pada bulan ini.

"Ketika pengangkutan udara secara beransur-ansur kembali normal, lapangan terbang terus berusaha melaksanakan pelbagai langkah keselamatan untuk meningkatkan tahap keyakinan penumpang.

"Penumpang dapat melakukan perjalanan dengan yakin melalui lapangan terbang kami. Ini kerana kami telah menerapkan pelbagai langkah keselamatan COVID-19 sejak bermulanya wabak berkenaan," kata MAHB dalam satu kenyataan.

Sementara itu, di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Indonesia AirAsia sedang meninjau untuk menyambung semula penerbangannya yang beroperasi Kuala Namu ke Pulau Pinang bermula bulan ini sekali gus menjadi syarikat penerbangan asing keenam kembali beroperasi di negeri berkenaan.

Dalam sama sama, syarikat penerbangan komuniti, Firefly juga akan mula beroperasi di Pulau Pinang sebagai hab keduanya dengan memperkenalkan laluan baharu dari Pulau Pinang ke Kuching dan Kota Kinabalu bermula bulan depan.

MAHB berkata, teknologi baru juga akan dilancarkan di rangkaian lapangan terbangnya secara berperingkat bermula dengan KLIA selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan di kebanyakan negeri di Malaysia pada bulan November mempengaruhi pemulihan lalu lintas penumpang.

"Selain itu, langkah kerajaan Turki membendung penyebaran kes COVID-19 telah mempengaruhi operasi kami di Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen.

"Namun, Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen masih mencatatkan 1.5 juta penumpang, menyumbang lebih 80 peratus kepada trafik penumpang keseluruhan iaitu 1.8 juta pada November," katanya.

Bagi operasi kargo di Malaysia, MAHB berkata, hab e-pemenuhan yang baru iaitu hab eWTP Cainiao Aeropolis di KLIA yang mula beroperasi bulan lalu, dilihat tepat pada masanya untuk memberikan sokongan rantaian bekalan pintar kepada penjualan e-dagang dalam talian.

"Operasi kargo semasa di Malaysia terus menunjukkan daya tahan dengan mencatat purata 65,000 tan sebulan dari Januari hingga November tahun ini berbanding 78,000 tan sebulan pada 2019," katanya.

Hab eWTP adalah usaha sama (JV) antara MAHB dan unit logistik kumpulan Alibaba, Cainiao, yang memiliki keluasan 2.6 juta kaki persegi dengan ruang gudang 1.1 juta kaki persegi.

Kemudahan baru itu dijangka meningkatkan jumlah kargo sebanyak 700,000 tan kepada 1.4 juta setahun menjelang tahun 2029.

Sumber: BH Online

 

Average: 5 (1 vote)