KUALA LUMPUR: Masa depan untuk internet terbuka kini terancam susulan tindakan beberapa buah negara yang mewujudkan sempadan digital melalui kedaulatan data dan mewujudkan dinding digital sebagai langkah perlindungan.
Menurut Ketua Pegawai Operasi Facebook, Sheryl Sandberg, tindakan perlindungan digital itu menjejaskan usaha pemulihan perniagaan dan ekonomi pasca COVID-19.
"Pandemik COVID-19 telah membuktikan nilai kesalinghubungan dan kerjasama melangkaui sempadan serta peluang ekonomi yang dicipta melalui internet terbuka yang mudah diakses.
"Namun masa depan internet terbuka ini belum terjamin. Beberapa buah negara memulakan langkah kedaulatan data dan membina dinding digital di sekeliling masyarakat.
"Sikap perlindungan digital adalah merugikan diri sendiri, berisiko memecah-belahkan internet global kepada silo nasional dan serantau sekali gus menjejaskan pemulihan perniagaan dan ekonomi merentasi rantau Asia Pasifik," katanya ketika menyampaikan ucaptama pada persidangan APEC 2020.
Sheryl berkata, kesalinghubungan merentas sempadan adalah asas kepada ekonomi digital yang utuh dan ia harus dipertahankan serta diperkasakan dan bukannya disekat dengan sempadan digital baharu.
"Ketika kita bergerak ke tahun 2021 dan seterusnya, kita perlu bekerjasama untuk memelihara apa yang terbaik untuk internet terbuka, sambil melindungi privasi pengguna dan mencegah bahaya.
"Kita perlu memberi semua pengguna hak untuk menjadi sebahagian daripada masa hadapan digital," tambahnya.
Sheryl turut menyeru ekonomi APEC agar terus melaksanakan keterangkuman digital bagi membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) pulih memandangkan PKS merupakan nadi ekonomi APEC merangkumi sekitar 40 hingga 60 peratus sumbangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
"Menteri-menteri daripada ekonomi APEC sudah menyuarakan kepentingan transformasi digital, dalam membangunkan daya tahan perniagaan, kerjasama untuk menjamin aliran data dan mengukuhkan kepercayaan pelanggan dalam transaksi digital," katanya.
Sheryl dalam masa sama menekankan kepentingan meletakan wanita sebagai agenda utama APEC memandangkan golongan itu antara yang paling teruk terjejas akibat pandemik COVID-19.
"Pemerkasaan ekonomi terangkum bermakna setiap negara perlu melabur dalam program digital dan menambahbaik kesalinghubungan antara penduduk.
"Ia juga bermakna memperkasakan wanita. Jurang jantina wujud sejak sekian lama. Wanita terjejas akibat pandemik kerana mereka lebih cenderung mempunyai tanggungjawab yang lebih kepada individu lain, cenderung dibuang kerja dan dipotong gaji," katanya
Sumber: astro AWANI