25 October 2024, Friday | 02:25am

PKPB: Tiada larangan penumpang kenderaan duduk di depan

2020-11-12

Kuala Lumpur: Tiada ketetapan dibuat kerajaan bagi penumpang untuk duduk di bahagian depan atau belakang asalkan tidak melebihi dua orang di dalam satu kenderaan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pihaknya tidak melarang penumpang untuk duduk di depan atau belakang.

"Cuma semalam, saya lihat satu video yang tular dan berniat jahat kononnya pemandu disaman kerana membenarkan penumpang duduk di bahagian depan kenderaan.

"Saya menghubungi pegawai tinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Bukit Aman untuk mendapatkan kepastian namun dijelaskan video itu berniat jahat," katanya pada sidang media harian, hari ini.

Ismail Sabri berkata, individu berkenaan disaman kerana menggunakan telefon pintar ketika memandu dan bukannya dikompaun.

"Ia berniat jahat, video berkenaan tidak betul dan saya juga sudah meminta polis untuk mengambil tindakan," katanya.

Terdahulu, polis Melaka membuat laporan berhubung video tular dimuat naik pemilik akaun Facebook Eric Chia yang didakwa mengelirukan dan mencalarkan imej PDRM.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik negeri Superintendan Hasan Basri dilaporkan berkata, video berdurasi 30 saat itu tular sejak semalam dengan maklumat yang diputar belit sehingga mencetuskan kemarahan warganet terhadap PDRM.

Video memaparkan seorang pemandu lelaki mempertikaikan tindakan anggota polis yang mengeluarkan saman terhadapnya dalam sekatan jalan raya di Jalan Dato Md Zain di sini pada pukul 11.08 pagi semalam.

Sumber: myMetro

 

No votes yet