25 October 2024, Friday | 02:21am

Premis cemar sungai disita MPS

2020-11-11

SHAH ALAM : Premis yang disyaki membuang efluen secara tidak sah ke lurang kumbahan yang mencemari Loji Rawatan Kumbahan Indah Water Konsortium (IWK) Taman Volex, Rawang disita Majlis Perbandaran Selayang (MPS), semalam.

Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) menerusi Facebook rasmi, berkata susulan tindakan sitaan itu, LUAS akan mengeluarkan Surat Arahan Perintah Perlindungan Air di bawah Seksyen 122 Enakmen LUAS 1999 kepada premis yang disyaki berkenaan risiko dan ancaman kepada kualiti sumber air itu.

"Pihak premis terbabit juga diarahkan untuk menjalankan kerja-kerja pemulihan segera di tapak.

"LUAS juga akan mengeluarkan Surat Arahan kepada IWK di bawah Seksyen 121(1) Enakmen LUAS 1999 bagi tindakan penutupan aliran dan pembersihan serta-merta di LRK.

"Pemantauan akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan tiada pencemaran berlaku di Sungai Selangor," katanya.

Menurutnya, semalam, LUAS bersama pihak berwajib menjalankan siasatan bersepadu bagi henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) utama akibat pencemaran bau di Sungai Selangor.

"Tindakan penguatkuasaan bersepadu pada lewat malam semalam menemui premis yang disyaki melakukan pembuangan efluen secara tidak sah ke lurang kumbahan yang seterusnya mencemari loji berkenaan.

"Sisa daripada premis terbabit didapati menghasilkan bau yang sama di kesan di LRK dan LRA.

"Tindakan bersepadu itu membabitkan pelbagai agensi penguatkuasaan iaitu LUAS, Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), MPS, Pejabat Daerah Tanah (PDT) Gombak dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), " katanya

Sumber: BH Online

 

No votes yet