KUALA LUMPUR: Bekalan vaksin awal COVID-19 dijangka diperoleh pada suku pertama 2021, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) berkata kerajaan menyasarkan agar bekalan tersebut diberikan kepada 3 peratus populasi negara terlebih dahulu yang terdiri daripada petugas barisan hadapan.
“Para petugas barisan hadapan (frontliners) ini meliputi sektor kesihatan dan keselamatan seperti doktor, jururawat, polis, petugas penjara dan imigresen, termasuk akses vaksin kepada masyarakat di luar bandar dan pedalaman yang tidak berkemampuan juga akan diperhalusi,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahmad Hassan (Warisan-Papar) yang ingin mengetahui jaminan dari aspek kecukupan pembekalan vaksin untuk COVID-19 yang dikatakan sedang berada dalam fasa penentuan harga tempatan.
Selain itu, beliau ingin mengetahui usaha Kementerian dalam memastikan vaksin tersebut dapat dibekalkan secara saksama kepada rakyat luar bandar dan pedalaman yang tidak berkemampuan.
Dalam pada itu, Khairy berkata kerajaan perlu membelanjakan RM3 bilion sebagai anggaran kos untuk memastikan 70 peratus rakyat Malaysia diberi imunisasi terhadap COVID-19.
Ujarnya lagi, beliau telah pun memohon agar disediakan dana berkenaan dalam Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan pada Jumaat ini.
Sumber: astro AWANI