SINGAPURA: Singapura dilaporkan akan mengimport elektrik dari Semenanjung Malaysia menerusi tempoh percubaan selama dua tahun.
Lembaga Pasaran Tenaga (EMA) Singapura dalam kenyataan memberitahu, tempoh percubaan itu bertujuan untuk ‘menilai dan memperbaiki kerangka kerja teknikal serta peraturan’ bagi proses mengeksport elektrik ke republik itu.
Menurut EMA, langkah itu akan membantu memudahkan import berskala lebih besar dari rantau ini pada masa hadapan.
“Untuk memenuhi komitmen perubahan iklim kita, ada keperluan untuk mengubah cara Singapura menghasil dan menggunakan tenaga.
“Menggunakan jaringan kuasa serantau untuk sumber tenaga yang lebih bersih adalah satu daripada strategi mempelbagaikan lagi bekalan tenaga Singapura,” kata EMA.
Dalam ucaptama yang disampaikan pada pembukaan Minggu Tenaga Antarabangsa Singapura, Menteri Perdagangan dan Industri, Chan Chun Sing berkata, langkah itu adalah sebahagian daripada rancangan Singapura untuk memperkasa ‘reka bentuk grid serantau’.
“Kami akan memulakannya dengan mengimport 100 megawatt (MW) elektrik untuk tempoh percubaan selama dua tahun bagi melihat bagaimana pasaran berfungsi.
“Ia akan membolehkan rantau ini berkongsi sumber tenaga bersih yang mungkin dimiliki oleh pelbagai negara dan kami akan memulakannya dengan Malaysia.
“Setelah konsep ini dimulakan, kami akan dapat memperluas ke pemain industri rantau ini yang lain,” katanya.
EMA merancang mengeluarkan permintaan untuk cadangan (RFP) mengimport elektrik sebanyak 100 MW menjelang Mac tahun, merangkumi kira-kira 1.5 peratus permintaan elektrik masa puncak di Singapura.
Di bawah RFP tersebut, import elektrik dapat dimulakan pada penghujung 2021 melalui penghubung elektrik di Singapura dan Malaysia.
Menurut EMA lagi, pengimport akan dipilih melalui proses pemilihan terbuka dan kompetitif.
“Pengimport yang berpotensi harus menunjukkan kebolehpercayaan, kredibiliti dan rekod prestasi bekalan mereka di samping kemampuan mendapatkan permintaan daripada pengguna Singapura serta menguruskan pengeluaran karbon bagi bekalan untuk generasi seterusnya,” katanya. – AGENSI
Sumber: Utusan