23 December 2024, Monday | 12:47am

COVID-19: 4 juta isi rumah pendapatan RM4,000 ke bawah terima bayaran RM1,600 - PM

2020-03-27

KUALA LUMPUR: Lebih 4 juta isi rumah berpendapatan bulan RM4,000 ke bawah akan mendapat bayaran RM1,600 bagi meringankan beban yang dialami akibat impak COVID-19 ke atas ekonomi negara ini.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin berkata, bayaran RM1,000 akan dibayar pada bulan April 2020 dan RM600 pada bulan Mei 2020.

Bagi 1.1 juta isi rumah berpendapatan RM4,000 hingga RM8,000 pula akan menerima bayaran RM1,000, di mana ia akan dibayar sebanyak RM500 pada bulan April, manakala selebihnya pada Mei tahun ini.

Muhyiddin berkata demikian ketika membentangkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat atau PRIHATIN berjumlah RM250 bilion hari ini.

"Bantuan Prihatin Nasional, ialah pemberian tunai secara one-off dengan peruntukan hampir RM10 bilion, dan buat pertama kalinya akan disalurkan juga kepada kumpulan M40.

Mereka ini termasuk pekerja swasta, peneroka FELDA, petani, nelayan, peniaga kecil dan semua yang tergolong dalam kumpulan M40 dan ke bawah," katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan bayaran RM800 kepada tiga juta individu bujang berusia 21 tahun ke atas dengan pendapatan RM2,000 ke bawah, dan RM500 kepada 400,000 individu bujang 21 tahun ke atas dengan pendapatan RM2,000 ke atas.

Daripada jumlah itu, Perdana Menteri berkata, RM128 bilion disalurkan untuk melindungi kebajikan rakyat, manakala RM2 bilion untuk memperkukuh ekonomi negara.

Selain itu RM100 bilion dikhususkan untuk menyokong perniagaan termasuk Perusahan Kecil dan Sederhana (PKS), manakala bagi RM20 bilion telah pun diumumkan dalam pakej rangsangan sebelum ini.

“Pakej PRIHATIN ini akan menyediakan bantuan segera untuk meringankan beban yang ditanggung oleh anda semua. Sama ada anda seorang nelayan di Kukup, Johor atau pekebun kecil di Jeli, Kelantan.

“Anda pengusaha chalet di Cherating atau penarik beca di Melaka, peniaga pasar malam di Kuala Lumpur atau pasar tamu di Kundasang. Anda semua akan menikmati manfaat daripada pakej rangsangan ekonomi yang peduli rakyat ini. Seperti yang saya sebutkan, tiada golongan yang akan tercicir. No one will be left behind,” katanya lagi.

Sumber: astro AWANI

 

No votes yet