JAKARTA: Acara himpunan, Ijtima Dunia 2020 Zon Asia membabitkan ribuan masyarakat Islam di wilayah Sulawesi Selatan dibatalkan berikutan kebimbangan penularan wabak COVID-19, lapor jurucakapnya.
Sejak beberapa hari lalu, pihak berkuasa menasihati mereka membatalkan program Ijtima Asia anjuran jemaah tabligh yang dijangka dihadiri umat Islam dari seluruh dunia.
Himpunan itu dijadualkan berlangsung di Gowa, berdekatan bandar Makassar.
Acara itu dikaitkan menyamai perhimpunan jemaah tabligh di Masjid Seri Petaling yang menyebabkan ratusan peserta yang hadir dijangkiti wabak COVID-19.
Ketua Daerah Gowa, Adnan Purichta Ichsan, memberitahu dalam media sosial rasminya malam tadi, penganjur akhirnya bersetuju untuk menunda program berkenaan.
"Kami tidak pernah berhenti untuk berunding dengan pihak penganjur bagi memujuk supaya dibatalkan untuk sementara waktu.
"Alhamdulillah Ijtima akhirnya bersetuju untuk menangguhkan atau membatalkan," katanya.
Adnan berkata, kesemua peserta himpunan itu akan dikuarantin dan pihak berkuasa juga akan menguruskan bagi membolehkan mereka balik ke negara masing-masing dan meninggalkan Gowa
Media sebelum ini melaporkan ribuan jemaah tabligh yang kebanyakannya membabitkan umat Islam di Asia Tenggara tetap berdegil dan berkumpul di Indonesia bagi menghadiri program itu sejak semalam.
Dilaporkan lebih daripada 8,500 orang dari seluruh Indonesia, Asia dan Timur Tengah berkumpul di bandar itu.
Sumber: Berita Harian