23 December 2024, Monday | 09:09am

Dego Ride kembali beroperasi

2020-01-02

PERKHIDMATAN e-hailing motosikal, Dego Ride memulakan operasinya semalam selepas dilarang beroperasi pada 2017 berikutan faktor keselamatan oleh pentadbiran terdahulu.

Dego Ride yang dibangunkan oleh rakyat tempatan itu akan beroperasi di sekitar Lembah Klang, Shah Alam dan Putrajaya.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, pihaknya sentiasa menyokong usaha rakyat tempatan terutama golongan belia yang mempunyai visi merangsang pertumbuhan ekonomi negara.

“Hari ini, 1 Januari 2020, menandakan hari bersejarah bagi Malaysia, yang melihat permulaan perkhidmatan e-hailing motosikal di negara ini.

“Pelaksanaan perkhidmatan e-hailing ini dijangka bakal mewujudkan kira-kira 5,000 lagi peluang pekerjaan bagi terutama dari segmen B40 (kumpulan pendapatan bawah 40 peratus).

“Perkhidmatan e-hailing sebenarnya dapat membantu menjadi pemangkin ke arah membangunkan industri baharu sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan oeprasi Dego Ride di Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Dego Ride, Nabil Feisal Bamadhaj.

Syed Saddiq berkata, pihaknya berharap Dego Ride mampu untuk setanding dengan syarikat e-hailing antarabangsa seperti Gojek dan Grab pada masa hadapan.

“Saya juga diberitahu bahawa belia yang menyertai Dego Ride ini boleh mencapai pendapatan bulanan antara RM1,500 hingga RM3,000,” katanya.

Sambutan Dego Ride begitu memberangsangkan apabila menerima kira-kira 4,000 permohonan daripada penunggang.

Sebelum ini, perkhidmatan Dego Ride dikenalkan pada November 2017 dengan kadar tambang RM2.50 untuk perjalanan sejauh 3 kilometer (km) serta tambahan RM0.60 untuk 1 km berikutnya.

Tambang terkini bagi perkhidmatan Dego Ride adalah pada kadar RM3 untuk perjalanan sejauh 3 km dan tambahan RM1 bagi 1 km seterusnya.

Orang ramai boleh memuat turun aplikasi Dego Ride di Android dan iOS.

Sumber: MyMETRO 

 

No votes yet