23 December 2024, Monday | 12:12pm

Danish Adham Nuqman Soon rangkul Piala Outstanding Hot Cooking Chef dan 17 pingat pada Kejohanan Chef Sedunia 2019

2019-12-23

ALOR SETAR: Kejayaan merangkul 17 pingat pada Kejohanan Cef Sedunia 2019 di Stadium Sultan Abdul Halim, baru-baru ini, melonjakkan semangat Danish Adham Nuqman Soon untuk mengejar cita-cita menjadi cef selebriti kelak.

Anak muda berusia 17 tahun yang sedang menjalani kursus Seni Kulinari di Kolej Vokasional Langkawi itu memenangi tujuh pingat emas, termasuk satu Emas Cemerlang, sembilan pingat perak dan satu gangsa melalui 17 kategori jenis masakan ditandinginya, sekali gus meraih Piala ‘Outstanding Hot Cooking Chef’.

Beliau memenangi Emas Cemerlang melalui masakan ‘Chicken Chop’, manakala enam lagi pingat emas diperoleh menerusi kategori Kuih Nyonya, Nasi Goreng, Char Kuey Teow, Salmon, Ayam Rendang Dan ‘Western Breakfast’.

“Saya tidak menjangka untuk memenangi pingat dalam kesemua 17 kategori yang disertai, malah juri turut terkejut melihat saya berulang kali naik ke pentas untuk menerima 17 pingat.

“Saya bersyukur dengan kejayaan ini yang cukup manis buat diri dan keluarga memandangkan saya adalah antara peserta muda pada kejohanan itu.

“Pada peringkat awal, saya berasakan peluang menang hanya 50-50 berikutan pesaing dihadapi adalah cef hotel serta cef master,” katanya sambil mengaku dorongan tenaga pengajar di kolej dan sokongan ibu bapa menjadi sumber inspirasi mencetuskan kejayaan beliau.

Beliau berkata, pengalaman menyertai pertandingan masakan sejak di bangku sekolah, selain nasihat daripada guru serta keluarga, turut membantu dirinya mengatasi perasaan gementar dan memberikan tumpuan terbaik ketika pertandingan.

“Di samping itu, saya mengambil segala teguran dan arahan diberikan cef yang hadir pada kejohanan berkenaan sebagai panduan untuk mengelak daripada melakukan sebarang kesilapan,” katanya.

Sumber: BH Online

 

No votes yet