23 December 2024, Monday | 12:44pm

Gangguan bekalan air: Uncle Kentang pula bertuala

2019-12-23

PUCHONG - Insiden Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos bertuala di depan bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor tiga tahun lalu ekoran gangguan bekalan air hari ini berulang kembali.

Namun kali ini gambar Presiden Persatuan Kepolisan Masyarakat (CP) Malaysia, Kuan Chee Heng pula tular hanya bertuala di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Lebuhraya Shah Alam (KESAS).

Chee Heng yang terkenal dengan gelaran Uncle Kentang berkata, beliau terpaksa ke hentian berkenaan berikutan sudah tiga hari tidak mandi apabila tangki air di rumahnya kehabisan bekalan.

Menurutnya, beliau kesal sehingga kini kerajaan negeri dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) masih tidak memberikan jawapan jelas bila bekalan air akan dipulihkan kembali.

“Saya dah tiga hari tak mandi, hari ini terpaksa bertuala di R&R Kesas semata-mata untuk bersihkan diri.

“Sakit hati dah banyak kali bekalan air terputus tahun ini dan lebih menyakitkan kali ini mereka beritahu tidak tahu bila ia akan pulih kembali,” katanya kepada Sinar Harian.

Chee Heng berkata, beliau kesal, Air Selangor sebagai pembekal tunggal bekalan air di Selangor tidak dapat memberikan jawapan meyakinkan bila ditanya bila bekalan itu akan pulih.

Menurutnya, pihak itu perlu memberi jawapan tepat memandangkan ketika ini kebanyakan penghuni berada di rumah kerana cuti musim persekolahan.

“Jangan biar rakyat sengsara begini....berapa kali nak kena hadap masalah macam ini. Saya kasihan rakyat terpaksa mandi di sana sini sebab tak tahu bila rumah mereka akan ada air,” katanya.

Dalam pada itu Chee Heng berkata, pihaknya menyediakan khidmat pengangkutan pacuan empat roda dan lori kepada golongan memerlukan di sekitar Puchong yang tidak mempunyai kenderaan untuk mengambil air di pili awam disediakan Air Selangor.

Menurutnya, pihaknya memahami kereta yang kecil tidak cukup untuk memuatkan baldi dan tong besar bagi mengisi bekalan air diambil dari pili awam disediakan.

“Untuk orang Puchong yang perlukan khidmat pengangkutan saya sedia bantu, mereka boleh bawa baldi kita akan bantu angkut air dari pili disediakan di Masjid As Salam Puchong Perdana bawa ke rumah mereka.

“Saya faham sengsaranya tak ada air, saya sendiri terpaksa buang air besar di R&R kerana rumah langsung tiada air,” katanya.

Terdahulu Sinar Harian melaporkan sebanyak 328,957 akaun pengguna di wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang mengalami gangguan bekalan air sejak Sabtu lalu ekoran insiden pencemaran bau di Sungai Semenyih.

Loji Rawatan Air Sungai Semenyih yang menjadi sumber air mentah terpaksa dihenti tugas sepenuhnya ekoran insiden pencemaran terbabit.

Jumlah akaun, pengguna terjejas bertambah kepada 336,930 apabila LRA Bukit Tampoi yang menerima sumber air mentah dari Sungai Semenyih turut dihentikan operasi sejak semalam.

Sumber: Sinar Harian

 

 

No votes yet