23 December 2024, Monday | 03:59pm

Penerbit liputan Sukan SEA 2019 maut nahas, anak parah

2019-12-20

PETALING JAYA: Seorang penerbit sambilan maut, manakala anak lelakinya cedera selepas kereta dinaiki mereka dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda dipandu seorang lelaki disyaki mabuk di Jalan Klang Lama, awal pagi ini.

Mohd Hezle Mohd Helan, 44, yang turut terbabit membuat liputan Sukan SEA 2019 di Manila baru-baru ini, maut di lokasi kejadian, manakala anaknya berusia sembilan tahun patah paha kanan dalam nahas kira-kira jam 1.05 pagi itu.

Abang Allahyarham, Mohd Helme berkata, kemalangan turut mengakibatkan kereta jenis Honda City dipandu adiknya itu terbakar.

“Saya difahamkan kemalangan itu apabila sebuah kenderaan pacuan empat roda hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan lalu merempuh kereta arwah. Pemandu pacuan empat roda itu disyaki dalam keadaan mabuk.

“Adik saya meninggal dunia di lokasi, anaknya dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Helme memaklumkan, Allahyarham baru pulang dari Filipina selepas terbabit membuat liputan Sukan SEA 2019 di Manila.

“Jenazah akan dibawa ke Kelana Jaya dan mungkin dikebumikan di Kota Damansara. Anak arwah pula masih dirawat dan doktor akan membuat pembedahan bagi kecederaan pada paha kanannya,” katanya.

BH masih berusaha mendapatkan pengesahan dan butiran lanjut mengenai kemalangan itu daripada polis.

Sumber: BH ONLINE

No votes yet