AGRA - Seorang remaja berusia 20 tahun meninggal dunia selepas tersilap mengambil minuman 'bahan peluntur' ketika khusyuk bermain permainan atas talian PUBG di telefon pintarnya.
Ketika kejadian berlaku, Saurabh Yadav berasal dari Gwalior, Madhya, India dikatakan menaiki kereta api bersama rakannya, Santosh Sharma. Yadav pada ketika itu sedang haus terus mencapai botol minuman berhampirannya tanpa melihat kandungan minuman itu.
Menerusi media tempatan, dia merasakan badannya tiba-tiba panas dan terus melihat 'air' botol yang diminumnya itu. Dia terkejut apabila mendapati botol minuman adalah cecair pembersih bahan peluntur.
Rakannya cuba membantunya dan meminta bantuan daripada kakitangan kereta api, namun gagal kerana kereta api itu hanya berhenti apabila tiba di destinasinya. Akibatnya, Yadav meninggal dunia kerana mengalami keracunan melampau.
Pihak polis memberitahu, hasil siasatan mendapati, rakan mangsa membawa botol 'bahan peluntur' bersama kerana dia merupakan seorang tukang emas.
Sumber: Sinar Harian