SHAH ALAM - Abu mayat mendiang bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng dibawa pulang ke Perak pada 16 September lalu selepas enam tahun kematiannya.
Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua dilahirkan di Sitiawan, Perak pada 1924 dan tinggal dalam buangan di Thailand sejak Perjanjian Damai Hat Yai 1989.
Berdasarkan laporan media Thailand, Chin Peng meninggal dunia di usia 90 tahun iaitu pada 16 September 2013 di sebuah hospital di Bangkok akibat sakit tua.
Penyelaras kumpulan yang menguruskan abu mayat berkenaan, Chan Kan Fook, 81, berkata, mereka membawa pulang abu mayat Chin Peng dari Thailand ke Malaysia dua bulan lalu.
Menurutnya, mereka menganjurkan majlis peringatan yang dihadiri lebih 150 orang pada hari yang sama abu mayat itu tiba di Ipoh.
“Sebahagian abu mayat Chin Peng ditaburkan di laut berhampiran Lumut, Perak serta sebahagian lagi di kawasan hutan banjaran Titiwangsa tanpa sebarang tugu atau jirat,” katanya memetik laporan portal Malaysiakini hari ini.
Terdahulu, Chin Peng pernah memfailkan saman terhadap kerajaan Malaysia bagi dirinya sendiri dan PKM bagi menuntut kerugian serta menghalang kerajaan Malaysia atau ejen-ejen daripada mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah mengenai mereka.
Bagaimanapun Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 30 September 2009 menolak saman 'tidak mampan' itu kerana permusuhan antara PKM dengan kerajaan adalah fakta sejarah dan tidak boleh dinafikan.
Chin Peng ketika itu diwakili peguam bela, Tommy Thomas.
Sumber: Sinar Harian