25 October 2024, Friday | 06:23am

Ubat perlu preskripsi dijual berleluasa

2020-09-30

KUALA LUMPUR: Pelbagai jenis ubat-ubatan yang sepatutnya hanya boleh didapati dengan preskripsi doktor, dikesan bukan saja boleh dibeli dengan mudah di farmasi, malah melalui platform beli-belah dalam talian atau laman web.

Ia menimbulkan persoalan bagaimana ubat yang disenaraikan dalam Kumpulan B mengikut Akta Racun 1952 itu boleh dijual sewenang-wenangnya tanpa preskripsi doktor, sekali gus turut mendedahkan pengguna kepada risiko keselamatan kesihatan.

Hasil tinjauan BH di beberapa farmasi sekitar ibu negara mendapati sebahagian daripada premis terbabit menjual ubat kategori berkenaan tanpa banyak soal dan pengguna hanya perlu maklumkan nama ubat sebelum membuat pembayaran.

Di beberapa farmasi, wartawan BH bertanya mengenai sejenis ubat tahan sakit, Celecoxib yang mengandungi Non-Steroidal Anti-Inflammatory dan dengan mudah memperolehnya daripada ahli farmasi di situ. Sebanyak 10 tablet Celecoxib dibeli di setiap farmasi yang dikunjungi pada harga keseluruhan RM18.

Pelbagai jenis antibiotik juga didapati mudah dibeli, termasuk secara dalam talian pada harga lingkungan RM18 hingga RM59 bagi 10 tablet, tidak termasuk kos penghantaran.

Wartawan BH turut berjaya membeli antibiotik jenis Amoxicillin dengan dos 500 miligram (mg) melalui satu portal beli-belah dalam talian tanpa banyak soal dan juga tanpa penjelasan terperinci mengenai cara pengambilan serta fungsi ubat berkenaan.

Ubat itu turut dijual di sebuah lagi platform beli-belah dalam talian secara pukal pada harga RM58 dengan perincian kegunaannya adalah untuk tahan sakit dan antibodi. Ada juga laman web mengiklankan antibiotik bagi merawat jangkitan Gonorrhea, sejenis jangkitan penyakit kelamin.

Mengulas perkembangan itu, Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr N Ganabaskaran, mengakui bimbang dengan trend penjualan ubat preskripsi doktor secara berleluasa, malah pihaknya juga banyak menerima aduan mengenai isu itu.

"Kita bimbang kerana penjualan ubat-ubatan Kumpulan B sudah berleluasa dan kita juga sudah banyak kali adukan kepada Kementerian Kesihatan (KKM), namun dimaklumkan penguatkuasaan akan dibuat berdasarkan aduan diterima.

"Untuk itu kita memerlukan peranan orang ramai supaya melaporkan kepada KKM jika mengesan atau melalui situasi seperti itu," katanya sambil menambah, ubat atau racun dalam Kumpulan B yang dijual tanpa preskripsi doktor berisiko mendatangkan maut jika disalah guna atau diambil secara tanpa kawalan.

Beliau menegaskan, pengambilan ubat terbabit secara berterusan, antara lain boleh menyebabkan risiko kerosakan buah pinggang atau hati, sekali gus berupaya membawa kepada kematian.

Mengikut Akta Racun 1952, katanya, ada empat kategori ubat termasuk Kumpulan B yang menetapkan pesakit harus mendapatkan preskripsi doktor terlebih dahulu sebelum membeli ubat yang dikehendaki di farmasi.

"Antara ubat dalam kategori itu adalah semua jenis antibiotik, ubat darah tinggi, kencing manis, kolestrol, sesetengah ubat gastrik bagi mengurangkan asid dalam perut dan sesetengah ubat tahan sakit.

"Mengikut undang-undang, jika pesakit mahu mendapatkan ubat Kumpulan B, perlu ada pendaftaran nama, alamat pesakit dan klinik, dos ubat untuk tempoh berapa hari dan tandatangan doktor. Biasanya bagi setiap preskripsi, ia sah digunakan untuk dua kali isian semula.

"Contoh, preskripsi untuk pesakit membeli ubat pada September dan isian semula pada Oktober dan November," katanya.

"Bagi Disember, pesakit perlu jumpa semula doktor supaya ubat tidak disalahgunakan kerana ia adalah racun yang hanya perlu diambil jika ada indikasi," katanya. Beliau berkata, pengambilan ubatan seperti ubat tahan sakit mengandungi Non-Steroidal Anti-Inflammatory yang selalunya bagi kegunaan sakit pinggang, sakit badan, gout atau senggugut, tetapi jika disalah guna, boleh mengakibatkan ketoksikan dalam tubuh atau kerosakan buah pinggang dan hati seterusnya berisiko membawa maut.

"Bagi antibiotik pula, pengambilan secara tidak terkawal boleh menyebabkan pesakit tidak lagi dapat 'dilindungi' ubat jenis itu. Kita harus tahu, 70 peratus daripada jangkitan adalah disebabkan virus bukan bakteria dan antibiotik hanya digunakan untuk merawat bakteria," katanya.

"Jadi, adalah salah bagi pesakit yang mengambil antibiotik untuk semua jenis jangkitan. Sebab itu, penting mereka diperiksa secara teliti oleh doktor, termasuk membuat pemeriksaan darah sebelum mendapatkan antibiotik," katanya. Beliau berkata, ada juga ubat-ubatan seperti ubat tahan sakit dalam Kategori C yang boleh dibeli di farmasi kerana pilihan pesakit sendiri atau tiada bekalan di klinik, namun perlu ada pendaftaran pembeli oleh pihak farmasi bagi mengawal pembeliannya.

"Pesakit seharusnya cari punca yang menyebabkan penyakit sebelum menanganinya dengan kaedah yang betul berbanding bergantung kepada ubat tahan sakit," katanya.

Ahli farmasi langgar peraturan kena tindakan

Semua ahli farmasi sepatutnya sudah maklum mengenai peraturan Akta Racun 1952 yang jelas menyatakan penjualan ubat dalam kategori Kumpulan B tanpa preskripsi doktor adalah satu kesalahan.

Sehubungan itu, Presiden Persatuan Farmasi Malaysia, Amrahi Buang, berkata ahli farmasi yang dikesan melanggar peraturan itu perlu dikenakan tindakan mengikut undang-undang sedia ada.

"Undang-undang itu jelas dan kita (ahli farmasi) tahu mengenainya. Jadi, kalau mana-mana farmasi buat perkara itu, ia memang salah dan apabila perbuatan itu salah, maka perlu diambil tindakan mengikut undang-undang," katanya.

Beliau berkata, peraturan itu adalah antara syarat bagi membolehkan seseorang itu menjadi ahli farmasi dan sepatutnya hanya membekalkan ubat preskripsi untuk tempoh 24 jam sahaja, manakala bagi bekalan seterusnya, pesakit masih perlu mendapatkan preskripsi daripada doktor.

Mengenai tindakan sesetengah farmasi menjual ubat Kumpulan B tanpa preskrispi doktor, Amrahi berkata, setakat ini persatuan berkenaan tidak menerima sebarang aduan secara rasmi daripada mana-mana pihak.

Sementara itu, beliau mencadangkan kerajaan menguatkuasakan pengasingan tugas di antara klinik dan farmasi dengan doktor hanya berperanan memeriksa pesakit dan memberi preskripsi ubat, manakala farmasi pula menyediakan bekalan ubat-ubatan.

Sumber: Bharian

 

Average: 5 (1 vote)