25 October 2024, Friday | 04:20pm

Spesis hidupan laut besar, jarang dilihat antara tarikan HPPNK 2019

2019-11-29

JOHOR BAHRU -- Orang ramai berpeluang melihat sendiri beberapa spesis hidupan laut yang besar dan jarang dilihat apabila berkunjung di pavilion MySeafood pada pameran Hari Peladang, Penternak, Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2019, yang bermula 28 November 2019.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Muhammad Faiz Fadzil berkata beberapa spesis ikan yang dipamerkan boleh dimakan namun jarang didapati di pasar-pasar atau akuarium.

“Kita ada pamerkan pelbagai jenis spesis seperti pari air tawar, tuna, tuna sirip kuning, kerapu tikus, kerapu merah dan sebagainya, khas untuk pengunjung mengetahui spesis-spesis ikan yang boleh didapati di Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pavilion MySeafood, sempena hari pertama HPPNK 2019, di Angsana Mall Johor Bahru, di sini.

Selain itu, pavilion MySeafood juga mempamerkan ikan tuna seberat 30 kilogram, yang turut menarik perhatian ramai termasuk kanak-kanak.

Muhammad Faiz juga berkata pengunjung yang ingin merasai sendiri pengalaman mengawal bot, boleh berbuat demikian menerusi simulasi bot yang akan memberikan pengalaman memandu bot sebenar.

Selain itu, turut dipamerkan sistem penentuan lokasi penangkapan ikan (FIS) yang merupakan kerjasama LKIM dengan Agensi Angkasa Malaysia, Jabatan Perikanan Malaysia dan Persatuan Nelayan Kebangsaan.

“Sistem ini membantu nelayan mengesan dan mengenal pasti sumber-sumber ikan di laut. Laut ini luas jadi mereka perlu mencari sumber bagi meningkatkan tangkapan. Ini salah satu teknologi yang ada untuk kita bantu nelayan,” kata Muhammad Faiz.

Terdahulu, beliau menyampaikan geran kepada empat usahawan LKIM iaitu geran untuk ‘Produk Berimpak Tinggi’ sebanyak RM200,000 kepada Otak-otak Mr Noh (JB) Sdn Bhd dan tiga Geran Agropreneur Muda bernilai antara RM15,000 dan RM20,000 kepada tiga usahawan atas perusahaan pemprosesan produk hasilan surimi dan dua projek ternakan kupang yang mereka usahakan.

Turut hadir Ketua Pengarah LKIM Jamaludin Othman.

Sumber: BERNAMA

 

Average: 5 (1 vote)