IPOH -- Scanda Sky, sebuah syarikat penerbangsan sewa khas tempatan memulakan penerbangan sulung melalui Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di sini ke Guangzhou, China.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Perak Tan Kar Hing berkata penerbangan itu berlepas pada pukul 10 malam 27 Nov dengan membawa seramai 40 penumpang.
"Sebelum ini, hanya terdapat penerbangan terus dari Ipoh ke Singapura dan Medan di Indonesia yang mengambil masa kurang dua jam," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran penerbangan sulung Ipoh-Guangzhou di LTSAS di sini malam ini.
Beliau berkata penerbangan tersebut akan membantu meningkatkan sektor pelancongan di Perak.
Katanya kerajaan negeri berharap syarikat penerbangan dapat menambah kekerapan penerbangan dan mengenal pasti beberapa destinasi baharu khususnya di negara-negara jiran.
Setakat ini, hanya dua penerbangan terus ke Guangzhou akan dibuat dalam seminggu iaitu pada Rabu dan Sabtu manakala penerbangan ke Ipoh pada Khamis dan Ahad.
Pengerusi Eksekutif Scanda Sky Tengku Faizwa Tengku Razif berkata penerbangan balik dari Guangzhou ke Ipoh dijangka membawa seramai 50 penumpang termasuk ahli perniagaan dari China untuk melancong dan urusan perniagaan.
Sumber: BERNAMA