PUTRAJAYA: Kerajaan Malaysia menyambut baik keputusan kerajaan Arab Saudi yang memberi kebenaran kepada jemaah luar negara mengerjakan ibadah umrah selama 10 hari.
Penghargaan tersebut dikeluarkan menerusi satu kenyataan bersama di sini oleh Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Kementerian Luar Negeri.
“Di pihak Malaysia, kerajaan akan bekerjasama rapat dalam usaha memastikan umat Islam di Malaysia turut dapat mengerjakan umrah di Tanah Suci,” jelas kenyataan berkenaan hari ini.
Kedua-dua Menterinya, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein namun menegaskan kerajaan masih lagi terus memantau situasi kes Covid-19.
Pada masa sama, kerajaan meneliti dari semasa ke semasa protokol ketat prosedur operasi standard (SOP) untuk pelaksanaan ibadah umrah yang ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi sendiri.
“Pihak kerajaan akan melakukan segala terbaik demi kepentingan rakyat khususnya jemaah umrah Malaysia yang bakal berangkat ke Tanah Suci kelak,” tambah kenyataan tersebut lagi.
Bagi Zulkifli dan Hishammuddin, pihak kerajaan sebenarnya sentiasa mengutamakan aspek keselamatan dan kesihatan dalam kalangan jemaah negara ini sebagai keutamaan tertinggi.
Justeru, pihak Wisma Putra dan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) juga akan mendapatkan khidmat nasihat daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan.
“Marilah kita bersama-sama mendoakan semoga segala usaha demi memastikan umat Islam di Malaysia dapat ke Tanah Suci dan dipermudahkan oleh Allah SWT, insya-Allah,” katanya.
Sumber: UTUSAN ONLINE