21 December 2024, Saturday | 10:21pm

MAHB berhemat belanja modal RM300 juta

2020-11-24

SEPANG: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) akan mengutamakan pembangunan kemudahan kritikal sebagai sebahagian daripada langkah lebih berwaspada dan berhemat dalam perbelanjaan modal (capex) yang disasarkan RM300 juta tahun ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata perbelanjaan tahun ini adalah lebih tertumpu kepada pembangunan kemudahan kritikal perlu di naik taraf segera bagi memastikan operasi berjalan lancar.

Beliau berkata, namun begitu disebabkan beberapa batasan yang timbul akibat COVID-19, beberapa kerja naik taraf fizikal terpaksa dihadkan.

Katanya, penggantian aset sudah lama di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menjadi keutamaan, termasuk kemudahan aero-train yang turut merangkumi landasan 1.5 kilometer (km) dan sistem pengendalian bagasi membabitkan laluan sejauh 42 kilometer.

"Antara kerja naik taraf yang diutamakan adalah penyelenggaraan kemudahan dan perkhidmatan sedia ada di lapangan terbang.

"Ia termasuk aero-train dan sistem pengendalian bagasi, naik taraf landasan, penetapan semula komersial untuk peruncit, pembaikan tandas dan inisiatif digital Airports 4.0," katanya ketika ditemui BH dan New Straits Times di Sepang, baru-baru ini.

Zambry berkata, pemilihan projek naik taraf turut mengambil kira keperluan semasa, sebagai contohnya, kemudahan aero-train yang sudah berusia 23 tahun tidak lagi mampu menampung trafik penumpang yang mencecah 32 juta setahun.

"Aero-train yang menghubungkan penumpang ke bangunan satelit pada asalnya direka untuk kapasiti maksimum 25 juta penumpang setahun. Kemudahan ini pada masa ini sudah melebihi had maksimumnya menyebabkan kami perlu menggunakan perkhidmatan bas untuk mengangkut penumpang.

"Kami melihat keperluan membina semula landasan baharu bagi tren baharu kerana teknologi pada masa kini berbeza dan memerlukan naik tahap yang komprehensif. Jadi, kami perlu menilai sistem yang sesuai untuk lapangan terbang kami," katanya.

Sementara itu, Zambry menjelaskan, pihak pengurusan MAHB sedang melaksanakan beberapa kajian berhubung mekanisme pembiayaan bagi infrastruktur fizikalnya.

"Pada mesyuarat agung tahunan MAHB, kami menetapkan capex untuk tujuan tertentu dan wujud kemungkinan penangguhan beberapa projek naik taraf. Kami akan melihat semula keperluan," katanya.

Beliau berkata, MAHB juga melaksanakan beberapa langkah penting untuk menjimatkan kos operasi di lapangan terbang kendaliannya termasuk menutup beberapa kawasan yang tidak digunakan.

Zambry berkata susulan pengurangan pendapatan syarikat ekoran akibat penurunan trafik penumpang tahun ini, MAHB menjangka akan membayar yuran pengguna lebih rendah kepada kerajaan.

"Kami tidak meraih pendapatan yang mencukupi dan kerajaan sudah sedia maklum serta memahami kedudukan MAHB ketika ini," katanya.

Setiap tahun, MAHB membayar antara RM300 juta hingga RM400 juta sebagai yuran pengguna kepada kerajaan.

Sumber: BH Online

 

No votes yet