25 October 2024, Friday | 12:20pm

MAHB ambil langkah tambahan pastikan kebersihan lapangan terbang

2020-02-05

SEPANG : Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) mengambil langkah proaktif dengan menempatkan lebih 1,200 pekerja pembersihan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2 bagi memastikan kebersihan kedua-dua lapangan terbang sewaktu penularan coronavirus (2019-nCoV).

Pengurus Kanan Operasi Bahagian Perkhidmatan Terminal MAHB, Abd Hasman Abd Muhimim berkata pekerja pembersihan itu dibahagikan kepada dua syif membabitkan seramai 320 pekerja akan ditempatkan di KLIA manakala seramai 280 di klia2, bagi satu syif.

Katanya, MAHB komited memastikan kedua-dua lapangan terbang terbabit dalam keadaan selamat dan bersih sekali gus memberi keyakinan dalam kalangan kakitangan serta penumpang ketika mereka berada di kawasan berkenaan.

“Mereka yang ditugaskan itu akan bekerja dari jam 7 pagi hingga 7 malam. Ini sebenarnya adalah operasi biasa yang dilakukan setiap hari oleh pihak MAHB.

“Cuma sejak 25 Januari lalu, kita mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan mengenai penularan virus berkenaan dan atas sebab itu pihak MAHB meminta pekerja kebersihan untuk membersihkan setiap tempat menggunakan cecair pembasmian kuman.

“Sehingga kini sebanyak RM16,000 sudah dibelanjakan untuk membeli segala peralatan perlindungan diri (PPE) dan produk pembersihan dan pembasmian kuman,” katanya ketika ditemui media selepas taklimat dan demonstrasi pembersihan yang dilakukan di KLIA, di sini hari ini.

Abd Hasman berkata, pekerja pembersihan diarah mengelap serta membersihkan semua kawasan yang disentuh oleh penumpang termasuk 5,600 troli, tempat duduk, besi tempat pemegang, lif, butang lif, bilik menunggu, tandas, kaunter daftar masuk dan beberapa kawasan lain.

“Selain itu, kita juga turut menyediakan botol cecair pembasmi kuman untuk digunakan oleh penumpang ketika berada di KLIA dan klia2,” katanya.

2019-nCoV yang dikesan tercetus dari pasar makanan laut di Wuhan, wilayah Hubei, China, sejak Disember lalu sudah mengorbankan lebih 360 nyawa dan menjangkiti lebih 17,300 orang.

Setakat ini, virus baharu yang mengundang risiko tinggi dalam kalangan orang tua, kanak-kanak dan bermasalah kesihatan itu sudah merebak meliputi lebih 25 negara seluruh dunia, termasuk Malaysia, Thailand, Indonesia dan Singapura.

Sumber: Berita Harian

 

Average: 5 (1 vote)