22 December 2024, Sunday | 05:11pm

Lagi kes pencemaran Sungai Selangor, 1,292 kawasan alami gangguan bekalan air

2020-10-19

KUALA LUMPUR: Satu lagi insiden pencemaran sumber air mentah dikesan di Sungai Selangor pada jam 2 pagi ini, menurut kenyataan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

Susulan itu, arahan henti tugas telah dikeluarkan untuk Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang.

Henti tugas keempat-empat loji ini telah menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual melibatkan 1,196,457 akaun merangkumi 1,292 kawasan.

Ia melibatkan pengguna di Wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

Pada masa sama, Air Selangor memaklumkan, pemulihan setakat jam 2 pagi ini untuk insiden henti tugas separa LRA Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1) berikutan kes paip air pecah pada Sabtu telah mencapai kadar 80 peratus.

BACA: Bekalan air di 311 daripada 686 kawasan terjejas pulih sepenuhnya - Air Selangor

Namun, berikutan insiden pencemaran bau awal pagi ini melibatkan loji yang sama, maka pemulihan kawasan ini tidak dapat dilaksanakan mengikut jadual yang diumumkan semalam (18 Oktober).

Sementara itu, bagi proses pencairan dan 'flushing' bahan pencemaran yang terdapat di dalam Sungai Selangor, Air Selangor telah mengambil tindakan segera dengan melepaskan air secara graviti dari HORAS 600 (kapasiti 285 juta liter sehari) dan pelepasan air mentah dari empangan (800 juta liter sehari).

"Dalam pada itu, Lembaga Urus Air Selangor telah melepaskan air mentah melalui operasi pengepaman kolam KL Larut dengan kapasiti 336 juta liter sehari untuk tujuan yang sama.

"Sehingga jam 6.30 pagi ini, pencemaran masih lagi di kesan di Sungai Selangor pada tahap 1 TON," katanya.

Air Selangor berkata, pihaknya menyediakan bantuan bekalan air dengan mengerakkan lori-lori tangki ke kawasan-kawasan yang terjejas.

Keutamaan diberikan kepada premis-premis kritikal seperti hospital dan pusat dialisis.

Para pengguna yang memerlukan bantuan bekalan air untuk kecemasan seperti urusan kematian boleh menghubungi 15300.

"Air Selangor amat memahami situasi para pengguna yang memerlukan air bersih terutama semasa peningkatan kes COVID 19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat ini dengan mengambil segala usaha bagi meminimakan impak gangguan kepada para pengguna yang terjejas," tambahnya.

Sumber: astro AWANI

 

No votes yet