23 December 2024, Monday | 01:01pm

Keuntungan PETRONAS untuk suku ketiga 2019 susut

2019-11-27

KUALA LUMPUR: PETRONAS mencatat keuntungan bersih RM36.4 bilion untuk tempoh sembilan bulan tahun kewangan 2019, susut 11 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

Syarikat minyak nasional itu berkata ia berikutan keadaan pasaran yang amat mencabar dan harga serta margin keuntungan komoditi yang terus tertekan.

Meskipun begitu, PETRONAS berkata, keputusan kewangan itu menggambarkan daya tahan dan keupayaan perniagaan kumpulan, yang dipacu oleh penumpuan berterusan dalam kecemerlangan operasi dan komersial.

Dalam tempoh dikaji, PETRONAS mencatat pendapatan RM176.2 bilion, susut tiga peratus, berikutan harga purata realisasi produk utama yang lebih rendah.

Ini sebahagiannya diimbangi oleh jumlah jualan yang lebih tinggi terutamanya untuk gas asli cecair (LNG) dan produk petroleum serta kesan ringgit yang lemah terhadap kadar pertukaran dolar Amerika Syarikat (AS).

“Walaupun terdapat ketidakstabilan pasaran yang berterusan, prestasi PETRONAS pada suku ini menunjukkan daya tahan dan keupayaannya sebagai peserta tenaga bersepadu dalam mengekalkan operasi yang kukuh dan boleh dipercayai sepanjang tempoh itu," kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, semalam.

"Kami akan terus memberi tumpuan untuk memacu kecekapan operasi dan kecemerlangan komersial dalam seluruh Kumpulan dalam melaksanakan strategi tiga hala kami.

“Walaupun prestasi kami akan terus dipengaruhi oleh persekitaran yang mencabar, namun kedudukan kewangan PETRONAS dijangka terus kukuh," katanya.

Wan Zulkiflee menjangka prospek industri akan terus mencabar, dipacu oleh perlahan ekonomi global, ketegangan geopolitik dan isu perdagangan global yang berterusan, sehingga mengakibatkan gangguan permintaan.

Pada suku ketiga 2019, PETRONAS meraih pendapatan RM55.1 bilion, lebih rendah berbanding RM63.91 bilion dalam tempoh sama tahun sebelumnya, susulan harga purata realisasi pasaran yang lebih rendah untuk produk utamanya serta penurunan jumlah jualan yang lebih besar bagi minyak mentah dan kondensat.

Walau bagaimanapun, ini sebahagiannya diimbangi oleh kesan ringgit yang lemah terhadap kadar pertukaran dolar AS.

Keuntungan bersihnya pula susut kepada RM7.4 bilion pada suku ketiga tahun kewangan semasa berbanding RM14.338 bilion, terutamanya disebabkan hasil yang lebih rendah dan pelarasan bersih ke atas aset, yang mana sebahagiannya diimbangi kos produk dan pengeluaran bersih serta perbelanjaan cukai yang lebih rendah.

Sehingga akhir September, jumlah aset firma itu berkurangan kepada RM621.4 bilion daripada RM636.3 bilion pada 31 Disember 2018.

Ekuiti pemegang saham kumpulan meningkat kepada RM388.1 bilion daripada RM380.5 bilion pada akhir bulan Disember tahun lalu, yang mana sebahagian besarnya disumbangkan keuntungan yang dijana dalam tempoh berkenaan.

Bagaimanapun, ini sebahagiannya diimbangi oleh dividen akhir yang diumumkan pada tahun ini.

Nisbah hutangnya menurun kepada 18.9 peratus sebahagian besarnya disebabkan pinjaman yang lebih rendah susulan pembayaran balik pinjaman, manakala pulangan modal purata yang digunakan menurun kepada 10.7 peratus daripada 12.0 peratus pada 31 Disember 2018, sejajar dengan keuntungan yang lebih rendah.

PETRONAS berkata, pelaburan modal dalam tempoh berkenaan adalah berjumlah RM28.9 bilion, yang mana sebahagian besarnya dalam projek huluan untuk menyokong strategi pertumbuhannya.

Sepanjang tempoh sembilan bulan tahun ini, PETRONAS mengeluarkan 2.33 juta tong minyak setara (boe) sehari, sedikit lebih tinggi daripada 2.31 juta boe sehari dalam tempoh yang sama pada 2018.

Sumber: Berita Harian

 

Average: 5 (1 vote)