23 December 2024, Monday | 10:51am

Kerja pembinaan projek pembesaran LTAPP bermula Mac

2019-12-13

GEORGETOWN: Kerja pembinaan bagi projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) yang menelan kos permulaan RM800 juta, dijadualkan bermula Mac tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo, berkata ia susulan kelulusan diberikan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MBPP) untuk meneruskan projek itu hasil mesyuarat Unit Pusat Setempat (OSC) pada 3 Disember lalu.

Beliau berkata, kerja pembinaan oleh kontraktor dilantik Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) itu akan mengambil masa 36 bulan dan dijangka siap sepenuhnya pada 2024.

“Secara keseluruhan, projek pembesaran LTAPP akan dilakukan secara berperingkat menerusi empat fasa, iaitu cadangan pembinaan apron parkir pesawat dan landasan laluan kapal terbang serta infrastruktur lain.

“Fasa kedua pula membabitkan cadangan merobohkan dan membina semula, antaranya bangunan menara kawalan trafik udara, bangunan dua tingkat Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) serta bangunan Jabatan Meteorologi yang turut menempatkan stesen kesihatan dan kaji cuaca.

“Selain itu, dicadangkan pembinaan satu unit bangunan dua tingkat Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat Lapangan Terbang (AFRS) serta bangunan Unit Bencana Udara (ADU),” katanya pada sidang media di Pejabat Jabatan Pembangunan Persekutuan (ICU), di sini, hari ini.

Menjelaskan lanjut, Jagdeep berkata, pembangunan ruang tambahan itu mampu meningkatkan kapasiti pengendalian terminal LTAPP daripada 6.5 juta kepada 12 juta penumpang setahun.

Sementara itu, perunding utama bagi projek berkenaan, Datuk Abu Hassan Salleh, berkata pembesaran LTAPP akan menambah dua kali ganda keluasan terminal berbanding keluasan 54,000 meter persegi ketika ini.

Beliau berkata, projek itu juga dijangka mampu menampung hingga 28 pesawat komersial pada satu-satu masa berbanding 15 pesawat ketika ini.

“Projek pembesaran ini akan memfokuskan bahagian utara terlebih dahulu bagi memastikan ia tidak mengganggu operasi di terminal utama.

“Selepas semua itu siap, barulah kerja di terminal utama akan dimulakan,” katanya.

Sumber: Berita Harian Online

 

No votes yet