22 December 2024, Sunday | 01:58pm

Individu tiba dari Sabah puas hati proses saringan COVID-19 di KLIA

2020-09-30

KUALA LUMPUR -- Kebanyakan individu yang pulang dari Sabah berpuas hati dengan layanan dan perkhidmatan disediakan sepanjang proses saringan COVID-19 di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA).

Meskipun ada sesetengah penumpang terpaksa menunggu lebih lama untuk menjalani saringan itu, namun bantuan berterusan daripada petugas Kementerian Kesihatan (KKM), anggota pasukan keselamatan serta kakitangan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) melancarkan proses berkenaan.

Kebanyakan penumpang berkata petugas terlibat menjaga kebajikan mereka khususnya golongan yang memerlukan sepanjang keberadaan mereka di KLIA sehingga selesai menjalani saringan.

Mohd Faizal Hassan, 36, yang tiba di KLIA kira-kira 8 malam tadi berkata petugas yang terlibat memudahkan proses saringan, malah kemudahan hospitaliti yang disediakan adalah memuaskan.

“Layanan dan hospitaliti daripada anggota polis, KKM,  Rela (Jabatan Sukarelawan Malaysia) dan petugas MAHB amat cekap walaupun jumlah penumpang yang sedang menunggu (saringan) ketika itu amat ramai.

“Kami juga dibekalkan dengan makanan dan minuman yang mencukupi sebelum dan selepas menjalani saringan,” katanya.

Muhammad Ammar Shafiq Hamzah,30, berkata petugas yang terlibat khususnya kakitangan KKM sentiasa bersemangat memberi penerangan prosedur saringan itu.

“Walaupun mereka penat bertugas, tetapi mereka tetap senyum, melayan karenah penumpang dengan mesra,” katanya yang terpaksa menunggu hampir empat jam di KLIA selapas mendarat pada 7 malam, Ahad.

Katanya, bagi mempercepatkan proses menunggu, MAHB turut menyediakan laluan khas untuk warga emas dan kanak-kanak.

Pada Ahad, suasana di balai ketibaan KLIA sesak berikutan sejumlah besar penumpang pesawat yang tiba dari Sabah terpaksa menunggu lebih dua jam untuk menjalani saringan COVID-19.

Susulan kesesakan itu, KKM, MAHB serta agensi terlibat dengan serta-merta menambah kapasiti petugas dan peralatan masing-masing di KLIA dan Klia2 bagi melancarkan proses saringan.

Sumber: BERNAMA

 

Average: 5 (1 vote)