KUALA LUMPUR, 31 Dis -- Parlimen Malaysia mencatatkan sejarah tersendiri pada 2019 apabila Dewan Rakyat meluluskan pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan had umur kelayakan mengundi kepada 18 tahun berbanding 21 tahun sebelum ini.
Peristiwa bersejarah dalam helaian politik dan sistem demokrasi negara itu menjadikan negara kini bersama-sama dengan hampir kesemua negara anggota ASEAN lain yang menetapkan had umur minimum mengundi kepada 18 tahun, kecuali Indonesia 17 tahun.
Selain Singapura, beberapa negara lain yang masih mengekalkan had umur mengundi 21 tahun adalah Kuwait, Lubnan, Oman, Cameroon, Samoa dan Tongga.
Usaha dipelopori kerajaan Pakatan Harapan yang terkandung dalam manifesto mereka itu juga turut menyaksikan kelulusan cadangan penurunan umur warganegara yang layak menjadi ahli Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri kepada 18 tahun, serta pendaftaran secara automatik sebagai pemilih oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Menelusuri kronologi, pindaan perlembagaan itu pada mulanya dibentang untuk bacaan pertama pada 4 Julai oleh Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman namun terpaksa ditarik balik pada 10 Julai bagi turut meminda perkara berhubung pendaftaran pemilih secara automatik dan menurunkan had umur calon pilihan raya.
Sehari selepas itu, ia dibentang semula untuk bacaan kali pertama dengan merangkumi tiga perkara itu. Permuafakatan semua anggota Dewan Rakyat tanpa mengira parti politik terserlah apabila rang undang-undang itu disokong 211 daripada 222 ahli Parlimen selepas dua kali undi belah bahagi dilakukan, iaitu menerima persetujuan lebih dua pertiga ahli Dewan Rakyat pada 16 Julai.
Selepas 10 hari pindaan itu diluluskan di Dewan Rakyat, ia turut diluluskan di Dewan Negara pada 25 Julai dengan majoriti dua pertiga undian
Dijangkakan, seramai 7.8 juta pengundi baharu yang berumur 18 tahun termasuk pengundi yang menggunakan pendaftaran pemilih secara automatik akan disertakan dalam daftar pemilih sehingga tahun 2023, dengan jumlah pengundi dianggar meningkat kepada sekitar 22.7 juta, berbanding 14.9 juta pada Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei 2018.
Sebagai persediaan ke arah itu, SPR dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menubuhkan jawatankuasa petugas khas berhubung pelaksanaan umur pengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik yang akan bertindak menyelaraskan maklumat warganegara dan perkara lain yang berkaitan.
Badan pengurus pilihan raya itu menjangkakan semua persediaan berkaitan dapat disiapkan dalam tempoh kira-kira 18 hingga 24 bulan daripada kelulusan pindaan Perkara 119 (4) Perlembagaan Persekutuan itu pada 25 Julai lalu
Sementara itu reformasi sistem pilihan raya tahun ini juga menyaksikan SPR melakukan beberapa pembaharuan dan penambahbaikan bagi melancarkan proses penjalanan pilihan raya negara, antaranya melalui pendaftaran pemilih secara dalam talian melalui https://mysprdaftar.spr.gov.my/.
SPR juga melaksanakan inisiatif baharu dalam usaha menggalak dan memudahkan pengundi untuk keluar mengundi pada beberapa pilihan raya kecil dengan memperkenalkan kad pengundi , mengandungi maklumat seperti pusat mengundi, saluran, bilangan dan masa mengundi.
Sejajar dengan Undi 18, SPR turut mengambil langkah bagi persediaan menghadapi perkara itu dengan melakukan beberapa perkara antaranya kajian Pusat Daerah Mengundi (PDM) sama ada lokasi mengundi di sekolah atau dewan sedia ada masih dapat menampung jumlah pengundi yang akan meningkat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.
Dalam membantu SPR menyebar maklumat tentang demokrasi dan pilihan raya, Akademi Pilihan Raya (APR) mererusi Program APR Associate Trainer (AAT) telah melatih dan melantik 187 orang mahasiswa dan mahasiswi bagi membantu SPR mengendalikan program pendidikan pengundi dan pendidikan sivik di kalangan pelajar sekolah.
Komitmen SPR untuk terus menambah baik sistem pilihan raya turut dibuktikan apabila pada April ia mewakili Kerajaan Malaysia menandatangani perjanjian kerjasama dengan Program Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) dengan melibatkan perkongsian kos sebanyak RM6.4 juta
Melalui kerjasama itu, UNDP akan memberi bantuan dan khidmat rundingan teknikal kepada SPR khususnya dalam proses penambahbaikan daftar pemilih serta pembangunan kapasiti melalui program ‘Building Resources in Democracy, Governance and Elections’ (BRIDGE).
Sumber: BERNAMA