22 December 2024, Sunday | 12:46am

Dewan Rakyat: Negara rugi RM100 bilion akibat pembatalan VM2020 - MOTAC

2020-11-12

KUALA LUMPUR: Ekoran pembatalan Kempen Tahun Melawat Malaysia 2020, negara mengalami kerugian sekitar anggaran RM100 bilion.

Menurut Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), kerugian tersebut susulan kehilangan perbelanjaan pelancong, terutama yang berkaitan dengan penginapan, pengangkutan, membeli belah, makanan dan minuman.

Berdasarkan data pelancongan antarabangsa 2019, MOTAC berkata, perbelanjaan oleh pelancong dari China merupakan kedua tertinggi dengan sumbangan sebanyak 17.8%.

“Jumlah pelancong China bagi separuh tahun pertama (Januari – Jun) pada tahun 2019 ialah seramai 1,558,782 orang iaitu peningkatan sebanyak 6.41% daripada tempoh yang sama pada tahun sebelumnya iaitu tahun 2018.

“Manakala seperti yang telah dijangkakan, penularan wabak COVID-19 telah menjejaskan kehadiran jumlah pelancong asing ke Malaysia, dengan kehadiran pelancong China bagi separuh tahun pertama pada tahun ini merosot sekitar 74% berbanding tempoh yang sama pada tahun 2019,” kata MOTAC.

Perkara itu dimaklumkan menerusi jawapan bertulis yang diedarkan di Dewan Rakyat hari ini.

MOTAC berkata, sektor pelancongan antarabangsa atau pasaran inbound, mencatat kerugian lebih besar berbanding pasaran domestik, dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat di hampir seluruh negara, boleh memberi kesan lebih buruk.

Terdahulu, Datuk Seri Tiong King Sing (GPS-Bintulu) ingin mengetahui kesan penurunan jumlah ketibaan pelancong warga China sejak krisis pandemik COVID-19 berbanding tahun 2018 dan 2019.

Selain itu, beliau turut ingin mengetahui langkah-langkah MOTAC sebagai persediaan sekiranya pembukaan sempadan negara dibenarkan kelak.

Mengulas lanjut, MOTAC berkata, pihaknya akan terus memastikan kesinambungan usaha-usaha membangunkan industri pelancongan negara, seperti meningkatkan kerjasama antara pihaknya dan agensi berkaitan bagi memudahkan kemasukan pelancongan asing.

“Kementerian akan melaksanakan strategi pelan pemulihan terutamanya untuk 'market rebound' bagi pasaran serantau iaitu ASEAN dan juga pasaran jarak sederhana iaitu Asia Timur selaku penyumbang terbesar kepada jumlah kehadiran dan perbelanjaan pelancong asing ke Malaysia apabila keadaan pasaran dan ekonomi semakin pulih.

“Di samping itu, MOTAC melalui agensinya Tourism Malaysia akan merancakkan semula jenama Malaysia Truly Asia dengan memberi penekanan pada konsep Experiential Malaysia sebaik sahaja wabak COVID-19 dapat dibendung,” katanya lagi.

Selain itu, kementerian berkata, mereka akan mempertingkatkan kerjasama strategik dengan sektor swasta, syarikat penerbangan tempatan dan antarabangsa, serta memaksimumkan potensi sosio-ekonomi sektor pelancongan menerusi digitalisasi dalam merangka strategi promosi dan pemasaran bersasar yang berdaya saing.

Source: astro AWANI

 

No votes yet