22 December 2024, Sunday | 04:49pm

COVID-19: Kerajaan digesa wujudkan makmal ujian saringan di Sabah

2020-10-27

KUALA LUMPUR : Kerajaan digesa untuk mewujudkan makmal ujian saringan COVID-19 di Sabah bagi meningkatkan keupayaan pengesanan virus tersebut dengan kadar segera.

Pakar Perubatan dan Kesihatan Awam, Dr Khor Swee Kheng berkata, ini kerana lebih 70 peratus daripada kes aktif COVID-19 pada ketika ini menular negeri itu.

"Dengan kes aktif yang begitu banyak maka adalah wajar kerajaan untuk mewujudkan makmal saringan COVID-19 berbanding melakukan penerbangan harian menggunakan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

"Pada masa yang sama kita juga dapat meningkatkan jumlah ujian yang dilakukan di Sabah," katanya ketika ditemu bual menerusi Skype di sini, pada Isnin.

Dalam pada itu, Swee Kheng berkata kerajaan perlu memperluaskan kit ujian pantas atau rapid test kit di Sabah.

Katanya, meskipun ketepatan ujian tersebut kurang berbanding dengan hasil yang diproses di makmal, namun kit segera itu boleh memberi maklumat penting untuk mengetahui sejauh mana wabak tersebut merebak di Sabah.

"Dengan itu, ia akan membantu kerajaan untuk menjalankan langkah-langkah intervensi yang sesuai," jelasnya.

Pada Ahad, sejumlah 823 kes baharu positif COVID-19 direkodkan dengan hampir 65 peratus daripadanya membabitkan jangkitan di Sabah.

Pertambahan jangkitan baharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 di Malaysia mencecah 26,565 dengan 9,202 kes aktif.

Sumber: astro AWANI

 

No votes yet