22 December 2024, Sunday | 07:16pm

COVID-19: JAKIM akur nasihat KPM, batalkan UPKK tahun ini

2020-04-17

KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) membuat keputusan membatalkan peperiksaan bertulis Ujian Penilaian Kelas Agama dan Fardu Ain (UPKK) pada tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri ketika mengumumkan perkara itu menjelaskan, keputusan itu bagi memastikan keselamatan dan kesihatan murid terjamin.

Bagaimanapun katanya, pembatalan UPKK tahun ini tidak akan menjejaskan penilaian terhadap penguasaan murid yang mengikuti pendidikan Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) sejak Tahun Satu hingga Tahun Enam di peringkat rendah.

“Kemenjadian murid dalam pendidikan KAFA boleh dinilai dengan pelbagai kaedah, justeru JAKIM akan menetapkan kaedah baharu bagi menggantikan ujian bertulis ini,” katanya pada sidang media khas di akaun Facebook beliau, hari ini.

Peperiksaan bertulis bagi UPKK dijadual diadakan pada 28 September sehingga 1 Oktober depan.

Ia adalah peperiksaan diselaraskan di seluruh negara oleh JAKIM untuk murid Tahun Lima atau Enam di Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan Sekolah Rendah Agama (SRA) yang menggunakan sukatan pelajaran kurikulum KAFA dirangka JAKIM.

Matlamat UPKK adalah untuk menilai tahap kemahiran, kebolehan dan penghayatan murid dalam pengajian al-Quran, Ulum Syariah (Akidah dan Ibadah, Sirah, Adab, Jawi dan Khat serta Asas Lughatul Quran).

Rabu lalu, Menteri Kanan (Pendidikan) Dr Mohd Radzi Md Jidin mengumumkan peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) tahun ini dibatalkan berikutan penularan wabak COVID-19.

Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) pula ditangguhkan kepada suku pertama tahun depan.

Beliau turut menyarankan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) membatalkan UPKK bagi menjamin keselamatan dan kesihatan murid ketika negara berdepan penularan COVID-19.

Zulkifli berkata, keputusan JAKIM hari ini sebagai mengikuti perutusan Mohd Radzi pada Rabu lalu yang menetapkan pembukaan semula sesi persekolahan tertakluk kepada perkembangan semasa wabak COVID-19 serta nasihat daripada Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Selaras dengan keputusan Kementerian Pendidikan, JAKIM juga membuat keputusan (pembukaan kelas KAFA) mengikut apa yang ditetapkan kementerian berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, pengumuman pembatalan UPKK itu diharap dapat melegakan perasaan ibu bapa yang anak mereka dijadual mengikuti ujian berkenaan pada tahun ini.

Sumber: Berita Harian

 

No votes yet