22 December 2024, Sunday | 12:09pm

COVID-19: Gelombang ketiga dijangka berlarutan hingga tahun depan

2020-10-30

KUALA LUMPUR: Gelombang ketiga penularan COVID-19 di negara ini dijangka berlarutan hingga awal tahun depan, seiring peningkatan kes jangkitan virus itu di seluruh dunia.

Ia berikutan pola jangkitan COVID-19 di peringkat antarabangsa mempamerkan tempoh ia mencapai tahap puncak yang semakin lama, berbanding gelombang pertama dan kedua.

Pakar perubatan kesihatan awam (epidemiologi), Dr Ahmad Zaid Fattah Azman, berkata rentetan itu, peningkatan mendadak bilangan kes jangkitan baharu dijangka akan berlarutan bagi suatu tempoh agak lama.

Beliau yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Perubatan Universiti Putra Malaysia (UPM) menjelaskan, usaha untuk melandaikan lengkuk COVID-19 bergantung kepada beberapa faktor.

"Jangkitan gelombang ketiga ini mungkin dapat dilandaikan menjelang awal tahun depan, bergantung sama ada vaksin dapat dihasilkan pada akhir tahun ini atau sebaliknya. Kes memang dijangka meningkat apabila kadar kebolehjangkitan semakin tinggi dan kerajaan perlu lebih agresif.

"Trend jangkitan kekal meningkat dan jika keadaan seperti ini berlarutan selama dua minggu lagi, sistem perkhidmatan hospital kita akan lumpuh," katanya kepada BH, semalam.

Dalam pada itu, Dr Ahmad Zaid Fattah tidak menolak kemungkinan kegagalan mematuhi SOP juga akan mengakibatkan peningkatan mendadak jangkitan baharu COVID-19.

Justeru, katanya, orang ramai dinasihat supaya kekal mengamalkan gaya hidup berpandukan norma baharu berikutan pandemik COVID-19 dijangka berlarutan hingga akhir tahun depan atau 2022.

"Mungkin kita sebelum ini, tidak pernah mengalami pandemik bagi suatu jangka masa yang lama. Keadaan ini sekali gus mungkin mengakibatkan orang ramai fatigue (penat) untuk mengamalkan SOP.

"Pemimpin juga perlu memainkan peranan untuk memberi penerangan kepada rakyat bahawa kita tak boleh jangka pandemik ini akan berakhir dalam tempoh terdekat," katanya.

Pakar epidemiologi, Prof Madya Dr Mohd Rohaizat Hassan turut menyuarakan pandangan sama selain menjelaskan trend penurunan kes baharu dijangka tidak berlaku dalam tempoh terdekat.

Beliau yang juga Ketua Jabatan Kesihatan Masyarakat, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, ia berikutan penularan COVID-19 dalam kalangan masyarakat menjangkau skop lebih luas, berbanding sebelum ini.

"Trend penularan pada gelombang pertama dan kedua agak berbeza kerana jangkitan ketika itu dalam kluster yang sedikit, justeru lebih cepat dan mudah untuk diatasi, berbanding keadaan semasa," katanya.

Mengulas lanjut, Dr Mohd Rohaizat turut mencadangkan pendekatan pendidikan dan promosi kesihatan dipertingkatkan menerusi kaedah lebih kreatif dan berkesan termasuk psikologi berbalik bagi menangani golongan ingkar SOP.

"Saya tak tolak kemungkinan rakyat sudah mula letih berdepan situasi ini, selain muak dengan perkembangan politik semasa menyebabkan mereka ingkar SOP, tetapi masyarakat tidak boleh putus asa.

"Kita perlu teguh dengan usaha kerajaan dan Kementerian Kesihatan bagi menangani cabaran pandemik ini. Kini bukan masa untuk menuding jari dan salahkan sesiapa, sebaliknya semua pihak perlu bersolidariti melawan COVID-19 kerana vaksin virus ini masih belum ditemui," katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pihaknya yakin gelombang ketiga COVID-19 dapat dibendung daripada berlarutan hingga awal tahun depan seperti jangkaan pakar kesihatan, jika semua pihak memberi kerjasama mematuhi prosedur operasi standard (SOP) untuk mengekang penularan wabak itu.

Unjuran itu disandarkan kepada keupayaan negara sebelum ini yang pernah melandaikan lengkuk jangkitan ketika gelombang kedua.

Sehubungan itu, jika semua pihak dapat memainkan peranan sebaik mungkin, kadar kebolehjangkitan atau R-naught (R0) akan dapat dikurangkan.

"Graf hingga 31 Oktober 2020 menunjukkan jika kita mengikut unjuran R-naught 1.5, bererti pada 31 Oktober ini besar kemungkinan kita akan mencapai 1,200 atau 1,300 kes sehari.

"Inilah yang kita bimbang. Namun jika bekerjasama secara bersepadu dengan Kementerian Kesihatan, nescaya kita boleh turunkan (kes jangkitan). Kalau kita mengimbas kembali, gelombang kedua menyaksikan R-naught 3.5 yang bermaksud 100 orang akan menjangkiti 350 individu.

"Bagaimanapun, kita berjaya melandaikannya hingga 0.3. Justeru, tidak mustahil untuk kita melaksanakan tugas menurunkan lagi jangkitan kes dalam komuniti," katanya pada sidang media, semalam.

Sebagai persediaan menghadapi 'badai' gelombang ketiga COVID-19, Dr Noor Hisham, berkata pendekatan pihaknya adalah mencegah penularan dan jangkitan lebih bersasar terhadap negeri tertentu yang berisiko selain melindungi golongan berisiko daripada terdedah bahaya jangkitan.

Sumber: BH Online

 

No votes yet